
Datuk Zakaria Ahmad Zabidi
KUALA LUMPUR: Malaysia berpeluang muncul sebagai pusat utama pembangunan teknologi jalan raya dan sistem trafik pintar serantau menerusi penganjuran MY-ASEAN Roads & Traffic Tech Expo 2025 (MY-ARTTE 2025) pada 3 hingga 5 November tahun ini.
Presiden Persatuan Syarikat-Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM), Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, ekspo itu bukan sekadar pameran biasa, sebaliknya medan utama memperlihatkan inovasi terkini dalam pembinaan serta sistem trafik pintar berasaskan teknologi hijau.
“Penganjuran berkenaan menjadi langkah strategik meletakkan Malaysia sebagai pusat rujukan teknologi jalan raya ASEAN, sekali gus memperkukuh jaringan kerjasama antara sektor awam, swasta dan institusi akademik di rantau ini.
“Pengalaman luas syarikat konsesi lebuh raya tempatan akan turut dikongsi bagi membantu negara jiran mencapai piawaian global, selain merancakkan pembangunan teknologi hijau dalam sektor pembinaan, penyelenggaraan serta pengurusan trafik,” katanya pada Majlis Pelancaran Awal Konvensyen Penyelenggara Jalan Seluruh Malaysia dan Ekspo Teknologi Jalan Raya dan Trafik Asia Tenggara 2025, di sini hari ini.
Katanya, selain MY-ARTTE, Konvensyen Penyenggara Jalan Se-Malaysia (MRMC 2025) akan dianjurkan serentak dengan pembentangan oleh Menteri Kerja Raya, pegawai kanan kerajaan, pakar industri serta tokoh akademik berkaitan masa depan infrastruktur.
“Antara isu utama dibincangkan termasuklah inovasi keselamatan jalan raya, model kewangan projek berdaya tahan, sistem pembayaran tol digital mesra pengguna dan hala tuju pembangunan lebuh raya negara dalam mendepani cabaran masa depan,” katanya.
Zakaria menegaskan, usaha penganjuran bersama itu menggambarkan komitmen sektor awam dan swasta dalam memajukan industri lebuh raya tempatan, seterusnya mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam bidang berkenaan.
“Kami menyambut seruan kepengerusian ASEAN dengan menjemput penyertaan pemain industri serantau. Inilah peluang memperkasa infrastruktur hijau serta mencorak masa depan lebih mampan untuk Malaysia dan negara-negara jiran,” katanya. – UTUSAN