
ALEXANDER Nanta Linggi menyampaikan ucapan perasmian ketika hadir ke MyASEAN Road dan Traffic Tech Expo (MyARTTE) 2025 dan Malaysia Road Maintenance Convention (MRMC) 2025 di MITEC. FOTO Hari Anggara
Kuala Lumpur: Malaysia berbangga dengan pengiktirafan antarabangsa terhadap kualiti lebuh raya susulan video tular memaparkan konvoi kenderaan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang melalui lebuh raya negara dengan lancar ketika Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, baru-baru ini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pujian meluas daripada warganet itu mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai antara negara dengan rangkaian jalan raya paling baik diselenggara di Asia Tenggara.
“Video itu mengingatkan dunia dan juga kita sendiri bahawa Malaysia sudah membina sesuatu yang luar biasa.
“Kelancaran, kebersihan dan landskap lebuh raya negara jelas terpamer dan dikagumi ramai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Penyelenggaraan Jalan Malaysia (MRMC) 2025 dan Ekspo Teknologi Jalan dan Trafik MY-ASEAN (My-ARTTE) 2025 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, hari ini.
Nanta Luggi berkata, video yang dimuat naik di platform X oleh Pembantu Khas dan Penasihat Komunikasi kepada Trump, Margo Martin, menunjukkan konvoi presiden itu bergerak lancar di lebuh raya tiga lorong itu yang dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke ibu negara.
Video berdurasi 13 saat meraih jutaan tontonan di media sosial,dengan ribuan pengguna memuji kualiti jalan raya Malaysia, malah ada yang membandingkannya secara positif dengan infrastruktur di negara maju.
Menurutnya, pengiktirafan itu adalah hasil komitmen berdekad lamanya, disokong oleh koordinasi mantap serta budaya penyelenggaraan berdisiplin yang diterajui Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan syarikat konsesi lebuh raya.
Malaysia kini mengurus lebih 260,000 kilometer jalan persekutuan, negeri dan perbandaran, menjadikannya antara rangkaian jalan paling luas dan bersepadu di rantau ini.
“Kita berbangga dengan pencapaian ini tetapi ini bukan masa untuk berpuas hati.
“Pengiktirafan ini sepatutnya menjadi dorongan untuk kita terus memperkukuh budaya penyelenggaraan kerana kualiti jalan raya mencerminkan maruah negara, keselamatan awam dan kesiapsiagaan masa depan,” katanya.
Beliau turut menegaskan pembabitan rakyat semakin penting dalam usaha menambah baik keadaan jalan raya, dengan merujuk kepada kejayaan platform aduan MyJalan yang membolehkan puluhan ribu kerosakan dikenal pasti dan diselesaikan di seluruh negara.
“Malaysia kini menuju ke arah sistem jalan raya yang berasaskan teknologi, lestari dan pintar, sejajar dengan Pelan Induk ITS Kebangsaan 2030 yang menggalakkan penggunaan data masa nyata, pemantauan berasaskan AI dan pendekatan pembinaan hijau.
“Jalan raya kita menghubungkan kehidupan, komuniti dan ekonomi. Apabila ia diselenggara dengan baik, kita memperkukuh Malaysia secara keseluruhan.
“Pujian yang diterima membuktikan bahawa apabila kita bekerjasama, Malaysia mampu memimpin,” katanya.