
Azman bercakap dalam sidang media selepas hadir Majlis Pelancaran Konvensyen Penyenggara Jalan SeMalaysia (MRMC) 2025 dan MyAsean Roads & Traffic Tech Expo (MyARTTE) 2025 di sini, hari ini. Foto, Afiq Johari (TVS).
KUALA LUMPUR, 25 Ogos: Kecerdasan buatan (AI), data analitik dan realiti terimbuh (AR) merupakan alat praktikal yang boleh dimanfaatkan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) bagi menambah baik kaedah merancang, membina dan menyelenggara jalan raya yang selamat dan lestari.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pengintegrasian AI bukan sahaja membolehkan KKR untuk menjangkakan kerosakan atau kecacatan jalan raya, tetapi juga mampu mengoptimumkan aliran trafik, mengurangkan kesesakan dan pelepasan karbon.
“Kemajuan ini akan mengukuhkan lagi aspirasi Malaysia untuk menjadi hab teknologi terkemuka di Asia, melengkapkan misi Malaysia MADANI di mana kemajuan yang dicapai melalui nilai ihsan dan dengan kemampanan dan keterangkuman,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Ketua Setiausaha KKR Datuk Seri Azman Ibrahim pada Majlis Pelancaran Konvensyen Penyenggara Jalan SeMalaysia (MRMC) 2025 dan MyAsean Roads & Traffic Tech Expo (MyARTTE) 2025 di sini, hari ini.
Alexander Nanta menjelaskan, usaha itu juga merangkumi sektor pembinaan secara keseluruhan yang merupakan tulang belakang kepada pembangunan ekonomi, kesejahteraan sosial dan kepimpinan serantau.
“Misi ini juga bukan sahaja menjadikan Malaysia sebagai hab untuk infrastruktur fizikal tetapi juga sebagai pusat teknologi pintar di mana jalan raya, kenderaan dan orang awam saling berhubung melalui sistem pintar yang mampu mengurangkan kemalangan, kesesakan, meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan seterusnya mensejahterakan rakyat,” ujar beliau.
Tambah beliau, Malaysia akan menganjurkan dua acara penting berkaitan teknologi jalan raya secara serentak iaitu Konvensyen Penyenggara Jalan SeMalaysia (MRMC) 2025 dan MyAsean Roads & Traffic Tech Expo (MyARTTE) 2025 pada 3 hingga 5 November ini.
MRMC 2025 akan menjadi platform untuk berkongsi amalan terbaik bagi mengukuhkan kerjasama antara rakyat, kerajaan dan sektor swasta, selain menetapkan pelan hala tuju negara dalam membina infrastruktur bertaraf dunia.
Sementara MyARTTE 2025 pula akan mempamer teknologi termaju dari system pengurusan trafik pintar kepada penyelesaian keselamatan dan penyenggaraan jalan seperti penggunaan kecerdasan buatan (AI), dron, robotik dan Internet Pelbagai Benda (IOT).
“Pameran ini akan mengangkat Malaysia sebagai hab terkemuka di ASEAN bagi teknologi jalan raya dan lalu unitas dan meletakkan Malaysia di barisan harapan dalam inovasi dalam sektor ini,” ujar beliau. – TVS